USRAH INFO ADMIN CERPEN TWITTER INSTAGRAM NEWER OLDER +FOLLOW DASH

CARA PANDANGAN
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 



Kenapa kita tidak rasa menyampah jika melihat adegan tidak senonoh yang dilakonkan oleh pelakon dalam filem luar negara?
Kenapa jika adegan yang sama dilakonkan oleh rakyat negara kita sendiri terutamanya yang Islam, kita rasa jelik dan marah?
Apa yang membuatkan kita mempunyai respons yang berbeza terhadap adegan yang sama itu?
Jawapannya ialah siapa empunya diri yang melakonkan adegan tersebut.
Jika Mat Salleh yang kita tahu bukan beragama Islam, sudah tentu kita terfikir seperti, “Biarlah, mereka bukan Islam. Kafir, sah masuk neraka. Biarlah mahu buat apa pun.”
Jika pelakon itu Islam, pasti terlintas dalam fikiran, “Ya Allah, tidak tahu malukah? Tidak ingat dosa?”
Lensa yang kita gunakan untuk memandang dua individu itu sedikit tidak tepat. Kita memandang mereka menggunakan lensa ‘agama’. Sewajarnya, kita gunakan lensa ‘kemanusiaan’ ketika memandang mereka.
Apakah yang memberi perbezaan di situ?
Mari lihat ayat 110 dalam surah al-Imran:
“Kamu umat terbaik, yang dihantar kepada seluruh manusia, kerana kamu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kita beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.”
Apakah kaitannya?
Allah sudah pun memberitahu tentang tugas kita ialah untuk mengajak MANUSIA kepada Islam. Bukan sekadar mengajak orang Islam lebih dekat kepada Allah. Tetapi termasuklah orang bukan Islam untuk kenal agama kita.
Jika kita melihat individu itu sebagai seorang yang bukan Islam, terus melabelkannya sebagai kafir, kita pasti terasa yang individu itu tiada ‘harapan’ untuk masuk syurga. Lantas, rasa terpanggil untuk mengajaknya ke arah Islam terhenti di situ. Tiada apa-apa tindakan kita lakukan.
Sebaliknya rasa marah yang tercetus tatkala melihat individu Muslim melakukan maksiat itu merupakan petanda awal kita sedar telah berlakunya kemungkaran di atas bumi, dan menuntut kita untuk melakukan sesuatu.
Jika kita melihat kedua-dua mereka sebagai manusia, yakni ‘target audience’ dalam dakwah kita, sudah tentu kita akan memberi fokus terhadap kedua-dua keadaan. Kerana mereka manusia, yang melakukan kesilapan, yang wajar ditegur.
Menukar lensa atau cara pandang kita terhadap kedua-dua pelakon itu juga akan mengubah cara kita melihat ‘the nature of’ kemungkaran itu. Kemungkaran yang dilakukan oleh orang bukan Islam dengan kemungkaran yang dilakukan oleh orang Islam wajar sama-sama dibenci dan dicegah. Kerana ‘at the end of the day’, kita perlu membenci maksiat itu, bukanlah pelakonnya.
Ubah cara pandang maksiat akan membuatkan kita tidak lagi merasakan yang maksiat itu perkara biasa, yang akhirnya membuatkan kita sekadar mengeluh dan berkata, “Biarlah…”.
Nota kaki: Pelakon dan adegan lakonan hanyalah sebagai analogi yang menggambarkan kita semua sebagai manusia yang tidak terlepas melakukan dosa, dan dalam masa yang sama dipandang oleh orang sekeliling.


0 Comments:

Post a Comment


Written at 10:27 PM