USRAH INFO ADMIN CERPEN TWITTER INSTAGRAM NEWER OLDER +FOLLOW DASH

KEINDAHAN SYURGA MENURUT AL-QURAN
KEINDAHAN SYURGA MENURUT AL-QURAN.


Assalamualaikum W.B.T.

Antara memori yang saya masih boleh ingat di zaman kanak-kanak ialah sewaktu bersekolah agama, tidak mampu ingat matapelajaran apa, tidak juga ingat nama ustazah yang mengajar matapelajaran tersebut (ampun maaf dipinta, saya betul-betul tak ingat hukhuk), tetapi saya ingat wajah lembutnya. Ustazah pernah bercerita tentang penghuni di Syurga. Katanya, hanya orang-orang muda sahaja yang ada di Syurga, semuanya kacak-kacak, semuanya cantik-cantik belaka.

Tapi ustazah, macam mana dengan orang-orang tua?
Mereka tak boleh masuk Syurga ke, ustazah?

Orang-orang tua yang kamu lihat sekarang ni syg, nanti semuanya berubah menjadi muda di Syurga,
InsyaAllah di sana nanti kamu pun muda juga, semua kawan-kawan kamu, ibu bapa kamu juga muda, sesiapa sahaja yang kamu kenali adalah muda.
Diibaratkan penghuni Syurga itu nanti usianya muda belia.

Fuhhh, lega! Budak-budak lagi kut masa tu. Soalan pun soalan budak-budak laa hewhew. Sekarang dah besar tahu dah yang ahli syurga ni hidupnya senang dan tak susah, kekal hidup dan tidak mati, pakaiannya tidak lusuh, manakala wajahnya pula tidak berubah.

Jadi, daripada hasil pembacaan saya, hari ni saya nak kongsikan sedikit tentang rupa paras dan keindahan Syurga. Mungkin ramai yang dah tahu, tapi saya yakin masih ramai juga yang belum tahu tentang keindahan Syurga. Yang dah tahu, nak terus baca sangat laa dialu-alukan, kalau tak nak baca duduk je kat situ diam-diam ok, bagi mereka-mereka yang belum tahu, entri ni memang khas special untuk korang-korang baca (untuk saya baca juga). Semoga kita peroleh sedikit ilmu dari entri ini ya.

PINTU-PINTU SYURGA ✔

Sebelum masuk ke syurga, penghuni-penghuninya akan melalui pintu-pintu syurga terlebih dahulu. Pintu-pintu tersebut ada bermacam-macam jenis, hal ini disebutkan di dalam al-Quran Surah Shaad ayat 49-50 yang bermaksud,

"Ini adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik, (iaitu) syurga dan yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka."

Kemudian Abu Hurairah meriwayatkan sebuah Hadis Rasulullah saw bersabda,

"Dan bagi syurga itu lapan pintu. Maka siapa yang termasuk dari orang yang menegakkan ibadah sembahyang, dia akan dipanggil dari pintu sembahyang. Bagi orang berpuasa ia akan dipanggil dari pintu puasa. Orang yang brsedekah akan dipanggil dari pintu sedekah. Dan yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad." - Riwayat Bukhari dan Muslim

Oleh kerana itu, jika seseorang semasa hidupnya dia benar-benar melaksanakan segala hal yang disebutkan tadi, maka dia akan dipanggil untuk masuk melalui ke semua pintu-pintu tersebut. 
Adapun pintu syurga bagi orang yang melakukan ibadah puasa dinamakan Ar-Rayyan. Manakala, setiap Muslim yang pernah kematian tiga orang anak-anaknya yang masih kecil diberi kebebasan untuk masuk ke syurga melalui pintu mana sahaja yang disukainya.

Penghuni-penghuni syurga setiap daripada mereka mempunyai pintu-pintu tersendiri. Satu pintu untuk tempat masuknya sendiri, satu pintu lain untuk isterinya, satu untuk tamu-tamu (malaikat dan kawan-kawannya), satu menuju ke neraka untuk rasa nikmat Allah ke atas dirinya, dan satu pintu ke Arsy iaitu mahligai Allah untuk melihat wajahNya.

Dalam artikel yang saya perolehi daripada sumber lain, menyatakan antara 8 pintu syurga, iaitu,
1) Pintu pertama tertulis Laa ilaaha illallaah, Muhammadur Rasulullah. Ini adalah pintu masuk bagi para rasul dan nabi, mereka yang mati syahid dan orang yang dermawan.
2) Pintu kedua adalah pintu masuk bagi orang-orang yang mengerjakan solat dengan sempurna dan menjaga wuduknya.
3) Pintu ketiga adalah pintu masuk bagi orang-orang yang mengeluarkan zakat bagi hartanya.
4) Pintu keempat adalah pintu masuk bagi orang-orang yang menyuruh berbuat kebaikan dan melarang perbuatan mungkar.
5) Pintu kelima adalah pintu masuk bagi orang-orang yang menahan diri dari mengikuti nafsu syahwatnya.
6) Pintu keenam pula adalah pintu masuk bagi orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah.
7) Pintu ketujuh ialah pintu masuk bagi orang-orang yang berjuang di jalan Allah SWT.
8) Pintu kelapan ialah pintu bagi orang-orang yang memejamkan matanya dari segala macam perkara yang haram, mereka yang mengerjakan kebaikan dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya serta menjalinkan silaturrahim.

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda bahawa, antara dua ambang pintu syurga itu bagaikan jarak antara Makkah dan Basrah. Jelas sekali betapa luasnya pintu-pintu yang terdapat di dalam syurga.

SUNGAI-SUNGAI DI SYURGA ✔

Sungai-sungai di syurga pula memancar dari bawah-bawah bukit dan bukanlah mengandungi air-air biasa seperti di dunia ini, sebaliknya ada sungai yang berair susu, ada yang berair anggur (arak) yang tidak memabukkan, ada pula dari madu dan sebagainya. Sungai-sungai ini semuanya mengalir dengan tenang melalui rumah-rumah di syurga, di kebun-kebun dan di celah-celah pokok. Bahkan terdapat juga mata-mata air yang mengalir.  Seperti firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 15 yang bermaksud,

"Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut):
Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih.
Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dan air yang menggeledak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?"

Jadi Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang bertakwa itu sungai yang airnya mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
1) Airnya tidak berubah rasa dan baunya. 
2) Air susu yang tidak berubah rasa dan warnanya 
3) Air anggur (arak) yang lazat dan tidak memabukkan bagi peminumnya. 
4) Madu yang suci bersih.

Terdapat juga sungai yang dinamakan Al-Kausar. Sungai ini dilingkari oleh bukit-bukit yang terdiri dari permata-permata dan tanahnya dari wangian yang paling wangi. Tepian sungai ini pula terdiri dari emas sedangkan anak-anak batunya dari mutiara. Barangsiapa yang meminum air dari Al-Kausar ini walau hanya satu kali sahaja, dia tidak akan merasa haus untuk selama-lamanya.
Al-Kausar itu juga adalah satu sungai yang dijanjikan kepada Rasullullah saw oleh Allah, pada sungai itu terdapatnya banyak kebajikan dan nikmat. Di atasnya sebuah kolam (Al-Haudi) yang akan datang umat Rasullullah kepadanya dan membawa bejana (maksud bejana tu mangkuk atau jug air) yang banyak sebanyak bintang-bintang di langit.

Tentang nama-nama sungai di syurga, tidak ada disebut dengan jelas di dalam al-Quran. Tetapi dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi bersabda,

"Bahawasanya di syurga terdapat suatu sungai yang disebut sungai Rajab,
airnya lebih putih daripada air susu dan rasanya lebih manis daripada madu. Sesiapa yang puasa satu hari dari bulan Rajab, maka Allah memberikan minuman dari sungai itu."
Yang jelas, sungai yang bernama Rajab dengan sifat-sifatnya yang luar biasa ini belum pernah dilihat dan dirasakan airnya.

TAMAN-TAMAN DI SYURGA ✔

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad saw, di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Kalau di dunia ini kita selalu melihat macam-macam taman yang dihiasi indah dengan pelbagai tumbuhan dan bungaan, di taman itu kita boleh menghabiskan masa berjam-jam menikmati keindahannya dan di taman itu juga kita mencari ketenangan. Maka begitu juga di syurga, Allah menciptakan taman-taman syurga bagi penghuninya menikmati keindahan dan mencari ketenangan yang jauh lebih hebat dari taman di dunia.

Ada dua bentuk taman di syurga:
1) Dua taman yang diciptakan oleh Allah dari perak dengan segala apa yang ada padanya.
2) Dua taman yang diciptakan ole Allah dari emas dengan segala apa yang ada padanya.

Pada taman-taman ini terdapat bermacam-macam buah-buahan sama ada kurma ataupun delima, air mata air dan sungai yang terus-menerus mengalir airnya dengan tenang.

At-Tabrani meriwayatkan bahawa di taman-taman tersebut ada pohon-pohon yang rendang, besar, tinggi dan luas. Bila bidadari-bidadari bernyanyi di bawahnya, daun-daun dan ranting-ranting pohon itu bergerak-gerak sambil mengeluarkan bunyi-bunyian yang amat merdu.

Apabila angin berhembus lalu menyentuh daun dan ranting, maka akan terdengar desiran yang amat merdu dan sedap didengar. Sehingga tidak dapat dibandingkan manakah yang lebih merdu antara suara bidadari-bidadari atau bunyi desiran pohon-pohon tersebut.

BILIK-BILIK, RUMAH DAN ISTANA DI SYURGA ✔

Untuk lebih menyeronokkan lagi, maka pada penghuni-penghuni syurga diberikan bilik-bilik khas, rumah dan istana yang diperbuat daripada permata-permata yang tembus dipandang mata seperti kaca. Di dalamnya penuh dengan kenikmatan dan kelazatan yang tidak pernah dilihat mata serta didengar telinga.

Rasulullah berkata, Allah menyediakan bilik-bilik, rumah serta istana daripada permata itu bagi mereka yang menyebarkan salam (sesiapa yang bertemu sesama Muslim lalu memberi salam), menyumbangkan makanan (sesiapa yang memberi makan kepada anak-anak dan isterinya sampai kenyang), terus menerus berpuasa (sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, ditambah dengan tiga hari pada setiap bulan) dan berjaga malam mengerjakan sembahyang ketika orang lain sedang tidur nyenyak (sesiapa yang menunaikan sembahyang Isyak terakhir dengan berjemaah, bererti dia telah bersembahyang malam sedang manusia tidur).

Bagi penghuni syurga ini, disediakan bilik-bilik sebagaimana yang dijanjikan Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 20 yang bermaksud,

"Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat yang tinggi yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji dengan sebenar-benarnya. Allah tidak akan memungkiri janjinya."

Kemudian, firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 6 yang bermaksud,

"Dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenankanNya kepada mereka."
Selain menerangkan keadaan bilik-bilik di syurga, ayat di atas juga menerangkan bahawa setiap orang yang masuk ke syurga itu mengetahui tempat mereka masing-masing tanpa perlu ditunjuk seolah-olah bilik rumah dan istana-istana itu sudah lama dikenalinya.

Kemudian dalam surah Al-Furqan ayat 10, Allah berfirman, yang bermaksud,

"Maha suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya dijadikanNya bagimu yang lebih baik dari yang demikian, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, dan dijadikanNya (pula) untukmu istana-istana."

Ayat ini mengisyaratkan bahawa di dalam syurga terdapat istana tetapi tidak dijelaskan bagaimana bentuk rupa istana tersebut, sama ada bertingkat-tingkat menjulang tinggi atau sebaliknya.

SYURGA ITU BERTINGKAT-TINGKAT ✔

Syurga itu bertingkat-tingkat dan setiap tingkat berbeza-beza pula. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Ada tingkat syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan "Al-Firdaus". Di atas Al-Firdaus inilah terletak "Arsy Rahman" iaitu Mahligai Allah.

Selain itu, keistimewaan syurga Al-Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah.
Tetapi cara melihat Allah bukanlah seperti kita melihat dengan mata biasa seperti kita melihat manusia, tetapi caranya ialah dengan penglihatan mata yang telah ditentukan Allah buat para penduduk syurga.

Segala yang ada di syurga itu indah-indah belaka jauh lebih indah dari apa yang ada di atas muka bumi ini. Tetapi yang terindah di syurga ialah pandangan terhadap Allah, tiada satu kenikmatan lain yang dapat melebihi keistimewaan itu.

Kemudian dalam satu riwayat lain digambarkan tingkat-tingkat syurga itu adalah seperti: 
1) Tingkatan syurga pertama yang diperbuat daripada perak baik kampung, rumah, pintu dan kuncinya. 
2) Tingkatan syurga kedua yang diperbuat daripada emas baik kampung, rumah, pintu dan kuncinya.
3) Tingkatan syurga ketiga yang diperbuat daripada yakut dan mutiara baik kampung, rumah, pintu dan kuncinya.

POHON-POHON DAN BUAH-BUAHAN DI SYURGA ✔

Keindahan alam dengan pohon-pohon yang rimbun menghijau serta aneka macam jenis bunga-bunga yang menawan dapat memberikan kedamaian jiwa bagi sesiapa yang memandangnya.

Bayangkanlah kalau kita berada di tengah-tengah kebun bunga yang seperti itu ditambah pula dengan pohon-pohon yang mengeluarkan bermacam-macam jenis buah-buahan, tentu kita akan asyik dan enggan pergi atau meninggalkan tempat tersebut.

Di syurga, Allah memberikan kepada penghuni-penghuninya lebih daripada itu sebagaimana firmanNya yang bermaksud,

"Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu, berada di antara pohon bidara yang tidak berduri dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya dan naungan yang terbentang luas; dan air yang tercurah; dan buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya." (Al-Waqiah 27-33) 

Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan (Ar-Rahman 48). Di dalam keduanya ada bermacam buah-buahan dan kurma serta delima (Ar-Rahman 68). Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya (Al-Insan 14).

Di syurga juga ada sejenis pohon yang dinamakan tuba. Abu Hurairah berkata, 
Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebatang pohon yang dipanggil tuba dan Allah berfirman kepadanya:
"Keluarkanlah untuk hambaKu apa-apa yang mereka kehendaki."

Maka keluarlah kuda dengan kekang serta pelana dan apa-apa keperluan yang dikehendaki dan dikeluarkan pula untuknya kenderaan dengan tempat duduk serta pengikatnya, apa-apa keperluan yang dikehendaki dan juga pakaian-pakaian.- Riwayat Ibnu Abid Dunya

Baginda berkata, tuba ialah sebatang pohon yang sangat rendang. Rendangnya sejauh 100 tahun perjalanan, manakala pakaian-pakaian penghuni syurga adalah daripada kelopak-kelopak pohon tuba.

Keistimewaan pohon-pohon di syurga ini semua akar umbinya diciptakan Allah daripada emas. Manakala pohon bidara di syurga itu bercabang-cabang dan setiap cabangnya mengeluarkan sebiji buah, kemudian dari buah ini keluar pula 72 jenis makanan yang berlainan.

Sedangkan pohon-pohon kurma pula diciptakan Allah swt dalam bentuk yang sangat luar biasa sebagaimana Abdullah bin Al-Mubarak, Ibnu Abi Hatim, Ibnu Abid Dunya dan Al-Hakaim meriwayatkan perkataan Ibnu Abbas ra, iaitu,
"Pokok kurma syurga itu batangnya daripada permata Zamrud yang hijau, pangkal-pangkal pelepahnya daripada emas yang merah dan setiap satu pelepahnya menjadi pakaian penghuni syurga, daripadanyalah pakaian dan perhiasan-perhiasan mereka dipotong dan dijahit.
Manakala buahnya seperti tempayan, lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu dan lebih lembut daripada buih dan tiada mempunyai benih."

Allahurabbi! Indahnya Syurga ya Allah! MasyaAllah! SubhanaAllah!

BIDADARI-BIDADARI SYURGA ✔

Di syurga, antara nikmat syurga yang paling dinanti-nanti oleh mereka-mereka yang bergelar lelaki adalah dilayani oleh bidadari syurga. Bidadari-bidadari syurga yang disifatkan bermata bulat jelita sekali, cantik-cantik, baik-baik malah sopan setia, dijadikan seperti gadis-gadis suci, penuh rasa kecintaan dan sebaya saja umurnya.

Terlalu banyak puji-pujian tentang sifat bidadari syurga sehingga membuatkan ramai para isteri tidak gemar akan sifat serta kesempurnaan bidadari syurga tersebut. Sehingga ada sumber lain yang ika perolehi, terjurus tentang pertanyaan seorang wanita kepada seorang ustaz yang tidak ingin suaminya dilayan oleh bidadari di syurga. Dan jawapan ustaz tersebut ialah,
“Di syurga nanti, selagi puan tak berenggang dengan suami puan, suami puan seakan-akan tak nampak pun bidadari syurga. Tak perlulah puan risau sangat. Yang penting sekarang, usahakan agar puan bersama suami dapat menjadi ahli syurga. Kalau isteri terpaksa masuk neraka buat sementara, dan suami yang masuk syurga dulu, saya tak jamin la bidadari tak ganggu dia.”

Kenapa suami tak nampak bidadari bila isterinya ada? Sebab wanita ahli syurga kelak akan dijadikan oleh Allah sebagai ketua bidadari. Hebatnya kecantikan ketua bidadari ni, adalah ibarat cahaya bulan mengambang penuh di musim panas. Para bidadari yang lain pula ibarat bintang-bintang yang bertaburan di sekelilingnya. Hanya menyerlah tika bulan menyepi.

Maka apabila ketua bidadari itu hadir, si suami seolah-olah terpukau, dan bidadari yang lain seakan tidak kelihatan, ataupun nampak kecil sahaja. Seperti gadis jelita dikelilingi oleh kanak-kanak kecil, sudah tentu fokus si lelaki hanya tertumpu kepada gadis jelita, begitu juga suami yang takkan beralih pandangan daripada melihat isterinya.

Wahai wanita penghuni syurga, anda sama cantik, sama jelita, sama putih bersih serta sopan seperti bidadari syurga. Malah darjat seorang wanita di dunia itu lebih mulia dan lebih tinggi daripada bidadari di syurga kerana amalan serta ibadahnya.

Satu perkara lagi, para bidadari syurga adalah penghuni asal yang telah Allah tempatkan di syurga. Mereka penduduk asal syurga, tak bolehlah nak halau mereka pula. Nanti mereka mengadu pada Allah, mereka tidak pernah berbuat dosa, taraf mereka seakan malaikat yang sentiasa makbul doanya. Cuma mereka ini Allah kurniakan nafsu sebagaimana manusia. Tetapi nafsu mereka bersih (tidak takabbur terhadap Allah) dan nafsunya tidak terhijab.

Dalil tentang mereka mempunyai nafsu, dalam surah Al-Waqi`ah, ada ayat yang berbunyi `uruban atraaba, yang apabila diterjemahkan bermaksud,
“sentiasa merindui (suami mereka yang berada di dunia) dan muda belia usia mereka”

*tapi kenapa sentiasa merindui suami orang? kan kan?
saya pulak jadi tertanya-tanya ni, ahli syurga tu ada juga yang tidak beristeri, pergi laa kat dorang
mihmihmih xD

Di dalam bahasa Arab pula, kalimah `uruban juga bermaksud berahi berpanjangan. Dalam istilah yang agak kurang sopan (sebelum tu, ampun ampun! saya minta maaf awal-awal), bidadari syurga ini sentiasa merindui jimak. Kata penulis itu lagi, wanita dengan sifat sebeginilah yang diidamkan oleh hampir semua lelaki, malah katanya bukan "hampir" tetapi memang semua lelaki normal macam tu. (Why sex is soooooo important? Sigh. Berbaur 18SX sudah entri ini. Maaf sangat kerana saya perlu terangkan satu-satu...)

Cara untuk mengelak daripada bidadari syurga melayani suami anda, sila sempurnakan ibadah, tingkatkan amalan, usaha segigihnya untuk menjadi wanita ahli syurga dan sentiasalah berada di sisi suami. Nanti bidadari syurga tu semua kecewa berguling-guling sebab suami korang tak layan dorang, tak nampak pun dorang even sebelah mata hewhew :3

*wanita ahli syurga :
bertaqwa, beriman, ikhlas beribadah, gemar membaca alQuran dan sentiasa berzikir, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersabar, bertaubat kepada Allah, bersedekah kepada yang kurang berkemampuan, berbuat baik sesama manusia, adil dalam segala perkara, menjaga lisannya dan tidak menceritakan keaiban orang lain, menepati janji, menjaga silaturahim dengan sahabat terdekat atau jauh, menjaga aurat dan menjaga ikhtilat, melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri, memelihara maruah diri, keluarga serta suami, dan sebagainya.
(*untuk ciri-ciri lelaki ahli syurga juga)

Jadi wahai lelaki yang bergelar suami, apakah pilihan kalian? Bidadari Syurga atau isteri iaitu ketua bidadari di syurga? (soalan perangkap KAHKAHKAH xP)

Dengan keluasan syurga yang dikatakan seperti luasnya seluas langit dan bumi, udaranya nyaman tidak panas membakar dan tidak pula sejuk menggigit, dinding-dinding syurga itu batu-bata daripada perak dan emas, tanahnya pohon kimkuma (za'faran) dan buminya kasturi. Harum bau syurga ini dapat dihidu daripada jarak perjalanan 100 tahun. Subhanallah, indahnya syurga, kan? saya pasti setiap seorang yang baca entri saya ni pun ingin merasa keindahan di syurga. sy pun sama, saya yakin semua orang pun sama juga.

Semoga kita sama-sama gigih memperbaiki ibadah dan jadikan entri ni sebagai pengajaran buat kita semua supaya muhasabah diri, insaf dan bersyukur dengan nikmat Allah.

Wallahualam ✌
°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°•°
Alhamdulillah. Selesai sudah usrah kita. Mohon maaf di atas kekurangan. Syukran Jazilan ukhti.
Moga Allah memberkati usrah kita. Assalamualaikum W.B.T.


0 Comments:

Post a Comment


Written at 8:08 AM