USRAH INFO ADMIN CERPEN TWITTER INSTAGRAM NEWER OLDER +FOLLOW DASH

FIQH : NIKAH (Siri I)
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Kita mulakan usrah kita dengan al-Fatihah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW



‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ

‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ
‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ






Malam ni insya-Allah kita akan berkongsi tajuk FIQH : NIKAH

Bismillah

Tajuk kecil:

  • Nikah Semasa Belajar
  • Nikah Berdasarkan Konsep Nikah Misyar
  • Nikah Gantung
  • Nikah Secara Kahwin Lari


Keperluan memahami hukum-hakam nikah amat penting. Ramai pasangan bercinta malas hendak bernikah dengan pelbagai alasan. Susah untuk bernikah, banyak syarat, wang dan sebagainya. Benarkah begitu? Apakah sebenarnya tuntutan nikah mengikut hukum syarat?

1) Nikah Semasa Belajar

Proses pernikahan adalah mudah dalam islam. Jika rukun nikah mencukupi, maka nikah adalah sah.

5 Rukun Nikah

i. Lelaki yang menjadi pengatin
ii. Wanita yang menjadi pengantin
iii. Wali nikah bagi wanita tersebut
iv. Dua orang saksi yang adil
v. Lafaz ijab dan kabul

Maknanya, memadai dengan lima insan yang terlibat, maka nikah dikira sudah sah. Inilah hukum asal dalam pernikahan. Sijil kursus nikah, surat akaun bujang, kebenaran penolongan pendaftaran nikah dan sebagainya hanyalah bagi urusan pentadbiran nikah sahaja, bukannya bagi sahnya nikah.
Oleh itu, tiada dalam islam suatu tegahan untuk bernikah semasa belajar. Tidaklah perlu menunggu hingga habis belajar Master atau PhD baru boleh bernikah. Jika semasa belajar peringkat ijazah sarjana muda dan ada keperluan untuk bernikah, maka harus bernikah. Salah satu kebaikan bernikah adalah untuk menjaga diri daripada maksiat. Nafsu yang disalurkan dengan baik dan tenang.

 Hikmah ini dapat dilihat dalam sabda Nabi SAW: "wahai para pemuda! Sesiapa dalam kalangan kamu yang mampu berkahwin, maka bernikahlah, kerana sesungguhnya dengan berkahwin akan lebih menundukkan pandangan mata dan lebih menjaga kemaluan"
(Riwayat al-Bukhari, kitab an-Nikah, no 5065)

Apakah maksud asy-syabab yang diterjemahkan sebagai pemuda? Beberapa nukilan yang disebut dalam Fath al-Bari bagi syarah hadis ini menunjukkan bahawa asy-syabab ialah pemuda yang berusia sejak baligh hingga sekitar 30 tahun. Dalam fahaman mudah, usia sekitar 15 hingga 30 tahun dikira syabab. Ketika usia ini, nafsu syahwat lebih tinggi.

"Maka satu cara untuk menjaga diri adalah melalui jalan pernikahan"

"Maka pernikahan bukan sekadar untuk melahirkan zuriat sahaja, tetapi untuk menjaga kehormatan diri dan kemaluan daripada jatuh ke lembah perzinaan. Ada golongan yang menentang pernikahan semasa belajar dengan alasan bagaimana sekiranya ada anak"

Perlulah difahami di sini bahawa pernikahan tidak sewajibnya mempunyai anak. Rancanglah kehidupan dengan baik. Tangguhkanlah proses memiliki anak sehingga tamat belajar. Tidak salah untuk merancang kelahiran anak. Dalam riwayat sunnah, para sahabat melakukan 'azal' iaitu mengeluarkan air mani di luar kemaluan isteri. Ini satu proses mencegah kehamilan. Perkara ini dibenarkan oleh Nabi SAW. Maka yang ditegah dalam agama ialah proses mengehadkan kehamilan, namun tiada tegahan untuk merancang kehamilan. Sebaliknya perancangan kehamilan merupakan sesuatu yang baik dan mulia

Mengikut para ulama, merancang kehamilan adalah harus. Itu adalah urusan suami isteri dalam memilih waktu yang sesuai untuk memiliki anak. Anak adalah amanah. Jika tidak mampu, tangguhkan buat sementara waktu.


2) Nikah berdasarkan konsep Nikah Misyar

Nikah hadir beriringan dengan tanggungjawab. Antaranya kewajipan bagi suami untuk memberi nafkah zahir kepada isteri. Nafkah zahir meliputi tempat tinggal, makan minum dan juga pakaian. Namun tidak semua lelaki mampu menyediakan keperluan tersebut. Andai diri sendiri pun "ditaja" atau masih ditanggung oleh ibu bapa, wang pinjaman dan sebagainya, sudah tentu tidak mampu menyediakan nafkah zahir kepada isteri.
Di sini terdapat  jalan keluar. Bernikah tetapi berdasarkan konsep nikah misyar. Apakah konsep misyar? nikah misyar ialah pernikahan yang isteri redha jika suami tidak menjalankan tugas sebagai suami dalam aspek nafkah zahir. Ini bermakna isteri menanggung dirinya sendiri, dan suami menanggung dirinya sendiri.


"Nikah misyar ini sesuatu pilihan bagi pasangan yang khuatir terjerumus dalam lembah zina"
Daripada berdosa berdating, berdua-duaan dan seterusnya berzina dalam erti yang sebenar, maka nikah misyar adalah suatu keperluan. Nikah misyar adalah sah menurut hukum syarak. Hal ini kerana rukun nikah yang lima dipenuhi. Cuma si isteri menggugurkan kewajipan terhadap si suami dari sudut penyediaan tempat tinggal, belanja makan minum, pakaian waktu bermalam dan sebagainya. Jika wujud keredhaan, maka harus hukumnya. Sesungguhnya hubungan antara manusia berdasarkan kemaslahatan manusia dan sifat meredhai antara mereka.


Yang penting difahami, nikah jenis ini merupakan satu kaedah bagi mengelakkan zina bagi pasangan yang sedang bercinta. Jika hendak ditunggu siap semua kelengkapan, mungkin mengambil masa beberapa tahun. Siapakah boleh menjamin bahawa pasangan ini tidak akan berjumpa, tidak berdating, tidak menonton wayang bersama, tidak berdua-duaan ditempat sunyi dan tidak akan berzina?


3) Nikah gantung
Nikah gantung biasa didengar dan ada masanya diamalkan dalam masyarakat. Apakah sebenarnya nikah gantung? Nikah gantung sebenarnya adalah nikah yang cukup lima rukunnya. Cuma digantung sementara dengan sebab-sebab tertentu. Sebab-sebab tersebut berbeza menurut keadaan.
Jika zaman dahulu, mungkin kerana si isteri masih muda. Mungkin umurnya baru 13 tahun. Belum pandai memasak dan melayan suami. Maka digantung seketika sehingga si isteri pandai menguruskan rumah tangga.


Namun, kini sudah ada had umur sekitar 16 tahun dan ke atas. Mungkin juga kerana si suami hendak pergi ke luar negara. Maka dibuat akad nikah dahulu. KEnduri dan persandingan selepas si suami balik semula. Selepas itu, barulah mereka duduk bersama sebagai suami isteri.


Dalam konsep hari ini, nikah gantung adalah alternatif bagi pasangan yang bercinta. Dengan akad nikah sahaja yang cukup syaratnya dari sudut  hukum syarak, maka hubungan pasangan couple ini sudah menjadi halal. Proses persandingan dan kenduri-kendara boleh dibuat setahun kemudian apabila tamat pengajian jika masih belajar.


4) Nikah secara kahwin lari

Kahwin lari ialah pernikahan yang diakadkan tanpa izin wali nikah bagi pengatin perempuan. Oleh sebab tiada izin wali sedangkan wali dan keizinannya merupakan rukun nilah, maka konsep kahwin lari terpaksa dibuat. Kahwin lari biasanya dibuat dinegara Thailand di sebelah kawasan umat islam iaitu selatan Thailand. Menurut pendapat dalam mazhab asy-syafi'i, ketiadaan kehadiran wali nikah dan ketiadaan redhanya membatalkan akad nikah.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
"tiada pernikahan melainkan dengan wali dan dua orang saksi yang adil" (Riwayat ath-Tabarani, Mu'jam al-Ausath no.5564)

Di Thailand, soal wali tidak lagi menjadi masalah kerana boleh menggunakan wali hakim. Wali hakim di sana ialah wali hakim yang dilantik oleh masjid agama Islam disana. Pihak JAKIM sendiri khabarnya mengiktiraf wali hakim di sana dengan syarat ia bukan nikah sindiket. Ramai yang berzina dan ramai yang menghampiri zina. Hati ingin bernikah agar tidak berzina dan dapat bertaubat daripada dosa zina. Namun wali nikah menghalang pernikahan. Akhirnya terus berzina senyap-senyap. Bagi para wali, hendaklah dihayati satu peringatan al-Quran agar tidak menjadi penghalang bagi pernikahan. Al-Quran menjelaskan:

"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Baqarah)

Kahwin lari adalah sah jika menurut ketetapan yang ditetapkan. Yang penting, gunakan wali hakim yang sah. Kemudian, pernikahan boleh didaftarkan di Malaysia. Bagi pihak berkuasa agama, perlulah difikirkan dengan baik sama ada hendak mendenda atau mendakwa di mahkamah. Yang penting, mereka sudah bernikah. Kesanggupan mereka bernikah membuktikan bahawa mereka tidak mahu terlibat dalam masalah zina. Jika hendak menghukum, hukumlah ala kadar sekadar formaliti tanpa memalukan dan mengaibkan pasangan tersebut.


Mereka tidak melakukan dosa besar mahupun dosa kecil kerana bernikah secara kahwin lari. Cuma melanggar sedikit peraturan sahaja. Dalam karya Fiqh al-islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili ada menulis tentang keperluan mendapatkan keizinan hakim syarie atau mahkamah syariah sebelum bernikah. Beliau nampaknya menolak idea tersebut. Perbincangan ini boleh dilihat pada juzuk 9 halaman 6674.


Walau bagaimanapun, bagi pasangan yang bercinta perlulah memahami bahawa restu dan redha ibu bapa adalah penting dalam pembinaan keluarga bahagia. Disebut bahawa redha Allah berada dalam keredhaan ibu bapa. Jika ibu bapa tidak redha, maka Allah juga tidak akan redha. Jika Allah tidak redha, apalah kebahagian yang diharapkan daripada pernikahan tersebut.


Bagi pelajar remaja dan universiti, sesungguhnya ibu bapa berusaha menjaga anak-anak dengan sebaik mungkin. Sebagai ibu bapa, mereka ingin melihat si anak berjaya dalam pelajaran dan kehidupan


Sekian usrah kita utk mlm ini. Wallahu a'lam


0 Comments:

Post a Comment


Written at 9:40 PM