USRAH INFO ADMIN CERPEN TWITTER INSTAGRAM NEWER OLDER +FOLLOW DASH

MARIAH AL-QIBTIYYAH
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Kita mulakan usrah kita dengan al-Fatihah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW


‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ

‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ
‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ






Malam ni nak share sikit tentang


Mariah Al-Qibtiyyah
 Wanita Jelita Di Sisi Rasulullah SAW



Semua orang tahu bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Baginda diberi wahyu untuk mengajak seluruh manusia kepada agama kebenaran iaitu Islam. Selepas mengislamkan kaum keluarga dan kerabatnya, tugas baginda seterusnya ialah mengajak penduduk di sekitarnya dan penduduk di luar Semenanjung tanah Arab beriman kepada Allah SWT.


Firman Allah SWT, yang bermaksud:
"Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai rasul yang membawa berita gembira (kepada orang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)."
[Saba' : 28]


Selain orang awam, baginda turut berdakwah kepada pembesar dan raja. Salah satunya ialah raja Mesir. Raja Mesir atau pemerintah Qibti turut dikenali sebagai al-Muqauqis. Berikut adalah isi kandungan surat baginda:


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Daripada Muhammad bin Abdullah kepada al-Muqauqis, pemerintah Qibti. Salam kepada yang mengikut petunjuk. Amma ba'du.
Sesungguhnya aku mengajak kamu dengan petunjuk Islam. Masuklah kemu untuk memeluk agama Islam, nescaya akan selamat dan Allah akan limpahkan pahala dua kali ganda. Jika kamu menolak dan berpaling, kamu akan menanggung dosa seluruh kaum Qibti.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak menyekutukan dengan-Nya sesuatu juga pun, dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain, untuk dijadikan orang yang terpuji dan didewa-dewakan selain daripada Allah."
Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami ialah orang Islam."


Setelah menerima surat itu, al-Muqauqis membacanya dengan penuh hemah. Selepas itu baginda bertanya kepada Hatib untuk mendapatkan penjelasan. Dan Hatib sudah pasti menjelaskan kepadanya dengan sebaik-baiknya.


Al-Muqauqis membalas surat Rasulullah SAW. Antara isi kandungan surat balasan daripada al-Muqauqis kepada Rasulullah SAW adalah seperti berikut:


Daripada al-Muqauqis, kepada Muhammad bin Abdullah: Aku telah membaca surat kamu dan memahami isi kandungannya, juga jelas dengan apa yang kamu serukan itu. Sebelum ini aku sudah maklum tentang kedatangan seorang nabi. Sangkaan aku nabi itu muncul dari Syam.
Aku menghormati utusan kamu dan mengirimkan bersamanya dua orang hamba perempuan dari kalangan kaum Qibti. Mereka ini perempuan yang berkedudukan terhormat di sisi kami. Bersama ini juga dikirimkan persalinan (pakaian) dan kenderaan.
Sekian disudahi dengan salam daripadaku untukmu.


Kedua-dua hamba perempuan yang dikirimkan oleh al-Muqauqis itu bernama Mariah dan Sirin; yang merupakan adiknya. Selepas itu Rasulullah SAW bernikah dengan Mariah manakala Sirin dinikahkan dengan Hassan bin Tsabit. Hassan ialah seorang jurutulis wahyu bagi pihak Rasulullah SAW dan juga merupakan seorang ahli syair.


Isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain berasa cemburu terhadap Mariah. Ini kerana Allah SWT memberi Mariah kelebihan yang tidak dimiliki isteri-isteri yang lain kecuali Khadijah. Kelebihan yang dimaksudkan ialah kedua-duanya dikurniakan cahaya mata.


Antara hikmah yang ingin Allah SWT tunjukkan melalui pernikahan Rasulullah SAW dengan Mariah ialah, Allah SWT mahu menunjukkan layanan suami terhadap isteri, termasuk ketika isteri sedang hamil. Seperti yang kita ketahui, rumahtangga Rasulullah SAW adalah teladan atau sunah kepada semua rumahtangga umat Islam. Sesungguhnya Allah SWT sahajalah yang lebih Mengetahui.


Rasulullah SAW pernah bercerita kepada Mariah tentang Nabi Zakaria AS. Nabi Zakaria AS dikurniakan anak; iaitu Nabi Yahya AS ketika usianya sudah lanjut. Lalu baginda membacakan firman Allah SWT daripada surah Maryam; ayat kelapan hingga kesembilan yang bermaksud:


Nabi Zakaria bertanya: "Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya untuk aku peroleh seorang anak, sedang isteriku seorang yang mandul, dan aku sendiri pula telah mencecah usia yang lanjut?" Penyeru (Allah) itu menjawab: "Demikianlah keadaannya - janganlah dihairankan; Tuhan berfirman: 'Hal itu mudah bagi-Ku, kerana sesungguhnya Aku telah menjadikanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang tanda apa-apa pun."
[Maryam : 8-9]


Demikianlah, apabila seseorang itu dikehendaki Allah SWT mengikut kemahuan-Nya. Selepas Khadijah meninggal dunia dan nabi SAW berkahwin lain, tiada seorang pun antara mereka yang dikurniakan cahaya mata sehinggalah nabi SAW bernikah dengan Mariah. Putera baginda bersama dengan Mariah diberi nama Ibrahim.


Ketika Mariah sedang mengandung, nabi SAW sering bercerita kepadanya tentang kisah Nabi Ibrahim AS. Sama seperti Nabi Zakaria AS, Nabi Ibrahim dikurniakan anak oleh Allah SWT ketika baginda sudah lanjut usia. Mariah mendengar kisah tersebut dengan penuh minat. Selepas itu dia berkata kepada nabi SAW:


"Akan tetapi, usiamu tidak setua usia Nabi Zakaria dan Nabi Ibrahim, wahai suamiku!"


Mariah selamat melahirkan seorang putera walaupun kehamilannya kurang daripada sembilan bulan sepuluh hari. Putera itu diberi nama Ibrahim. Kelahiran Ibrahim bukan sahaja dikongsi oleh ibu bapanya tetapi juga oleh seluruh penduduk Madinah. Kelahirannya bagaikan mencetus satu pesta di seluruh Madinah.


Pada suatu hari Rasulullah SAW pergi ke rumah Hafsah. Apabila baginda tiba di rumah Hafsah, didapati Hafsah tiada di rumah. Lalu baginda pun menunggu. Kebetulan ketika itu Mariah sedang melintasi rumah Hafsah. Baginda segera memanggil Mariah dan mereka berbual seketika di situ.


Sedang mereka berbual, Hafsah pun pulang. Hafsah ternampak Rasulullah SAW sedang bersama Mariah. Melihat keadaan itu, Hafsah berasa tidak senang hati.


"Ya Rasulullah! Mengapa mesti ada orang lain di sini? Tidakkah engkau tahu betapa perbuatanmu ini telah menyinggung perasaanku? Aku tahu, dia juga isterimu tetapi secara peribadi aku tidak suka melihat keadaan ini!" ada bibit-bibit cemburu di sebalik kata-kata Hafsah itu.


Rasulullah SAW kecewa dengan reaksi Hafsah itu. Untuk tidak memanjangkan situasi, baginda memujuk Hafsah. Dengan separuh berbisik baginda berkata bahawa selepas ini baginda tidak akan menyentuh Mariah lagi. Pada masa yang sama baginda berpesan agar tidak disebarkan kepada sesiapa tentang kata-katanya itu.


Malangnya apa yang nabi SAW harapkan tidak kesampaian. Hafsah yang masih diselubungi rasa kecewa memberitahu hal tersebut kepada isteri-isteri baginda yang lain. Tindakan Hafsah itu pada awalnya tidak diketahui nabi SAW.


Hal tersebut singgah di telinga Aisyah. Seperti Hafsah, Aisyah turut berasa cemburu. Lalu Aisyah menyarankan agar Mariah segera diusir keluar dari Madinah.


Akhirnya, nabi SAW mengetahui juga sikap isteri-isterinya. Baginda berasa marah dan ingin menghukum mereka. Hukumannya ialah baginda tidak akan mendekati mereka selama sebulan.


Lantaran peristiwa ini, maka turunlah wahyu Allah untuk menegur dan memberi ketetapan yang sebenarnya. Firman Allah SWT yang bermaksud:


"Wahai nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah akan menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredhaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah mengampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi amat mengasihani. Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda - kifarat); dan Allah ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan ingatlah ketika nabi memberitahu sesuatu perkara secara rahsia kepada salah seorang daripada isteri-isterinya, rahsia tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada nabi, (maka nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah nabi menyatakan hal itu kepadanya, dia bertanya: "Siapakah yang memberitahu hal ini kepada tuan?" Nabi menjawab: "Aku diberitahu oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi)."
[al-Tahrim : 1-3]


Daripada firman Allah SWT ini, kita dapat melihat ketetapan. Antaranya sifat buruk seorang isteri yang terlalu cemburu. Persoalan cemburu ini hendaklah ditangani dengan baik. Perasaan cemburu ini bukan sahaja menyusahkan bahkan mengancam kerukunan suami isteri dan rumahtangga juga boleh bergoyang akibat terkena tempias cemburu ini. Isteri yang tidak amanah boleh dihukum oleh suami. Dalam usaha 'mengambil hati' isteri yang cemburu, suami tidak boleh sama sekali mengharamkan perkara yang halal baginya. Jika dilakukan juga, perbuatan ini tidak sah dan terbatal. Suami tidak boleh mendedahkan aib isteri dan begitu juga dengan isteri; tidak boleh membuka aib suami. Dalam hal tegur menegur dan menasihati, kedua-dua pihak hendaklah melakukannya dengan berhemah agar tidak menyinggung hati masing-masing.


Hafsah menyedari kesilapannya yang telah membocorkan rahsia Rasulullah SAW. Dalam hal ini ada riwayat mengatakan Rasulullah SAW telah menceraikan Hafsah selepas itu. Apabila perceraian ini diketahui Umar RA, beliau berasa sangat kesal. Kekesalan itu ditunjukkan dengan menaburkan pasir ke atas kepalanya sendiri. Ketika itu terkeluar dari mulutnya:


"Selepas ini Allah tidak akan pedulikan Umar dan anaknya lagi."


Tidak lama kemudian, turun wahyu Allah yang memerintahkan agar Rasulullah SAW merujuk semula Hafsah. Ulama' berpendapat, ketetapan ini menunjukkan bahawa isteri yang tidak memegang amanah suami, mengaibkannya sehingga suami berasa tersinggung, boleh dihukum. Sekiranya diceraikan, suami boleh merujuk kembali setelah isterinya benar-benar insaf.


Setelah turun wahyu tersebut, Hafsah dirujuk kembali. Namun Rasulullah SAW masih terus mengasingkan diri sebagai hukuman terhadap isteri-isteri baginda. Sementara itu tersebar berita kononnya baginda telah menceraikan semua isterinya. Keadaan ini menimbulkan kegusaran di hati Umar al-Khattab. Beliau segera menghadap Rasulullah SAW.


"Ya Rasulullah! Jika tuan menceraikan isteri-isteri tuan, sudah tentu tuan tidak akan disakiti
lagi. Allah, para malaikat dan Jibril sentiasa bersama tuan. Diriku dan Abu Bakar serta orang Mukmin yang juga bersama tuan," ucap Umar yang terharu melihat Rasulullah SAW.


Rasulullah SAW tersenyum mendengarnya. Baginda pun menjelaskan keadaan sebenarnya. Katanya, baginda tidak menceraikan isteri-isterinya. Cuma baginda menjauhkan diri selama sebulan yang bertujuan memberi pengajaran kepada mereka.


Satu lagi pengajaran yang diperoleh sebagaimana pendapat ulama' ialah, isteri-isteri yang tidak diceraikan tetapi masih membuat kesilapan, hendaklah ditegur dan dibolehkan bagi suami mengasingkan diri dari mereka sehingga mereka bertaubat.


Sayyidina Umar sangat gembira mendengar hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa itu. Lalu beliau pun keluar dan mengumumkan perkara itu kepada orang ramai tentang pengakuan Rasulullah SAW. Sebenarnya baginda tidak menceraikan isteri-isterinya. Pengkhabaran itu telah menggembirakan orang ramai yang sebelum ini resah dengan khabar angin yang tersebar. Sejak peristiwa itu, isteri-isteri nabi SAW sentiasa berhati-hati dengan tindakan mereka.


Kira-kira dua tahun kemudian, datang lagi cubaan daripada Allah SWT. Ibrahim jatuh sakit dan dari hari ke hari kesihatannya kian merosot. Mariah dan Sirin sentiasa berada di sisi untuk merawat Ibrahim.


Ketika nyawa Ibrahim hampir ke kerongkongnya, Rasulullah SAW mendokong lalu berbisik ke telinganya:


"Anakku Ibrahim, ibu dan ayah tidak dapat menolongmu dan kami juga tidak dapat berbuat apa-apa terhadapmu."


Ketika dalam dokongan itulah Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir. Menyaksikan hal itu, baginda berasa sedih. Air matanya bercucuran turun ke pipi. Baginda sempat berbisik:


"Mata mencurahkan air dan hati dipalu rasa sedih dan pilu. Tiada ucapan kami kecuali mengharapkan keredhaan daripada Allah. Sesungguhnya kami sangat sedih untuk berpisah denganmu, wahai anakku..."


Ketika Rasulullah SAW dan para sahabat pulang dari pengkebumian Ibrahim, kebetulan berlaku gerhana matahari. Maka terdengarlah suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa gerhana itu berlaku kerana mempunyai kaitan dengan kematian Ibrahim. Apabila pengkhabaran itu singgah di telinga Rasulullah, baginda terus menegur seraya bersabda yang bermaksud:


"Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua bukti kebesaran Allah. Gerhana ini tiada kaitan dengan hidup atau mati seseorang."


Mariah meninggal dunia selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW. Kisah rumahtangga yang dialami perempuan yang bernama Mariah ini tercatat dalam al-Quran sekaligus menjelaskan tentang menangani masalah rumahtangga.


Sekian saja untuk usrah kita malam ni. Wallahu a'lam


0 Comments:

Post a Comment


Written at 9:57 PM