USRAH INFO ADMIN CERPEN TWITTER INSTAGRAM NEWER OLDER +FOLLOW DASH

KHAULAH AL-AZWAR ~BIDADARI BESI~
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Kita mulakan usrah kita dengan al-Fatihah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW



‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ
‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ
‏اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ





Kisah tentang Khaulah Al-Azwar -bidadari besi-

Kelihatan kelibat seseorang yang berpakaian hitam berbekalkan serban hijau, wajahnya ditutupi terus meluncur laju ke arah musuh, bertempur dengan handal dan cermat mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Dia meluncur laju ke arah barisan musuh, membunuh seorang demi seorang dengan menggunakan tombaknya, lalu meluncur pula ke arah barisan musuh di bahagian lainnya lalu mencederakan dan membunuh musuh yang lain. 

Siapakah gerangan pejuang ini?

Khaulah Al-Azwar merupakan srikandi yg menjadi tonggak dalam perjuangan. Kekuatan mental dan fizikalnya menunjukkan kehebatannya di medan perang. Beliau tidak pernah berasa gentar biar musuh menyerang dan ada yg cuba menghalang. Semangat kepahlawanannya terus mengalir tanpa batasan.

Susuk tubuh yg tinggi lampai dan tegap ini merupakan seorang yg pandai bermain pedang dan tombak sejak dari kecil lagi. Kemahiran dan teknik bertempurnya diwarisi daripada ayahnya Al-Azwar. Lantas beliau menjadi seorang wanita yg mahir berkuda dan bermain pedang. Keberanian yg terzahir dalam dirinya sungguh mengagumkan. Ketangkasannya menunggang kuda sukar untuk dipertikaikan kerana lagaknya menonjolkan kewibawaan.

Malah kerana kehandalannya bertempur membuatkan beliau mahsyur dalam perjuangan sehingga namanya terlakar megah dalam sejarah Islam dan menjadi pemangkin semangat para Muslimin dan Muslimat. Bahkan kehebatan yg dimiliki oleh Khaulah itu membuatkan Rasulullah SAW sendiri telah membenarkan beliau turut serta di dalam angkatan peperangan Muslimin bersama mujahidah yg lain.

Antara peperangan yg menonjolkan kehebatan beliau adalah ketika adiknya Dhirar Al-Azwar dijadikan tawanan tentera Rom. Perasaan kasih dan tanggungjawab yg mengalir di dalam hatinya mendorong Khaulah untuk turut serta di dalam operasi tentera Muslimin untuk menyelamatkan saudaranya itu. Kepimpinan dan kehebatan jiwa dan fizikal Khaulah jelas kelihatan ketika berlakunya satu penggempuran di sekitar Damascus, Syam. Pada ketika itu, Khalid Al-Walid telah mengetuai siri peperangan tersebut.

Kisah kehandalannya yang paling masyhur adalah dalam satu operasi tentera Muslimin itu. Raafe bin Umaira panglima skuad sebelum ketibaan Khalid mengungkapkan ketakjuban tentang Khaulah yang ketika itu belum mengetahui bahawa pahlawan perang tersebut adalah Khaulah kerana dia menutup wajahnya.

"Dia berlawan seperti Khalid, namun jelas dia bukan Khalid"
Kagum dengan pemandangan yang menkjubkan tersebut, pasukan muslimin masih belum dapat melihat siapa gerangan pahlawan itu, kecuali mengetahuinya sebagai anak muda yang menunggang kuda.

Dengan berselubung lengkap tanpa menunjukkan wajahnya, Khaulah telah bergerak ke medan tempur. Beliau menjadi seorang pejuang misteri yg begitu handal dengan berbekalkan semangat jihad dan keyakinan yg tinggi terhadap Allah SWT. Beliau langsung tidak memikirkan bahaya yg ada di hadapannya.

Di saat tentera Rom menyerang tanpa henti sehingga menyebabkan tentera Muslimin semakin lemah dan keletihan untuk berlawan, Khaulah telah meluncur laju ke arah musuh, membawa semangat yg berkobar-kobar lalu bertempur dengan handal dan cermat untuk membantu tentera Muslimin.

Pada ketika itu, Khaulah telah mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Beliau telah membunuh dan mencederakan barisan tentera Rom tanpa memikirkan keselamatannya. Pertempurannya itu telah membangkitkan semangat tentera Muslimin untuk terus berjuang, biarpun mereka tidak mengetahui bahawa susuk tubuh yg sedang bertempur itu milik seorang wanita.

Pejuang misteri itu terus menimbulkan tanda tanya kepada pejuang Muslimin. Ketangkasannya bertempur dengan pihak musuh begitu menakjubkan bagi Khalid Al-Walid dan tenteranya. Melihat kesungguhan dan keberanian pejuang misteri itu, Khalid mengambil peluang untuk membakar semangat pejuang-pejuangnya,

"Wahai tentera Islam, berjuanglah membantu pembela agama Allah ini, perkuatlah kedudukan orang yg bersendirian itu."

Lantas pejuang-pejuang Islam terus bangkit bersama-sama Khaulah untuk memerangi pihak musuh. 

Khalid mendekati sang penunggang kuda itu lalu bertanya,
"Wahai pejuang, tunjukkan wajah kamu!"
Sepasang mata hitam menatap Khalid sebelum berbalik dan kembali menyerang tentera Rom.
Kemudian beberapa orang tentera Khalid menyusul dan berkata kepadanya.
"Wahai pejuang yang mulia, ketua telah memanggil dan kamu telah pergi darinya! Tunjukkanlah kepada kami wajah dan sebutkan nama kamu agar kamu dapat dihormat selayaknya."

Sang penunggang kuda itu kembali pergi seolah dengan sengaja merahsiakan identitinya. Ketika sang penunggang kuda kembali dari serangannya dia berlalu di sisi Khalid, yang menyuruhnya dengan tegas untuk berhenti. Dia menarik kudanya berhenti, Khalid bertanya: "Kamu telah berbuat banyak perkara yang memenuhi hati kami dengan kekaguman. Siapakah kamu?" Khalid hampir terjatuh dari kudanya ketika dia mendengarkan jawapan dari penunggang kuda tersebut, kerana yang didengarnya adalah suara seorang gadis. 

"Wahai ketua, bukannya aku enggan menjawab pertanyaan kamu, hanya kerana aku berasa malu, kerana kamu seorang pemimpin yang agung, sedangkan aku hanyalah perempuan biasa. Tiada lain yang mendorong aku untuk melakukan hal seperti itu melainkan kerana hati aku terbakar dan aku sangat sedih."

Beliau akhirnya mendedahkan identitinya yg telah mengejutkan tentera Muslimin, lebih-lebih lagi Khalid Al-Walid sendiri. Mereka tidak menyangka bahawa ketangkasan dan kehebatan pejuang misteri itu datangnya daripada seorang wanita. Khalid kagum dengan Al-Azwar yang menjadi ayah kepada pejuang yang berani baik lelaki mahupun perempuan. 

"Kalau begitu bergabunglah bersama kami." ucap Khalid. 

Kesedihan dan kemarahan tentang berita tertawannya saudara lelaki yang amat dikasihinya iaitu Dhirar bin Al-Azwar lantas membuatnya tampil ke medan perang sebagai pejuang dan tidak lagi berada di barisan belakang yang ditugaskan untuk merawat tentera yang cedera dan mengurus perbekalan sebagaimana yang dilakukan sebelumnya bersama para wanita yang ikut dalam peperangan.

Kekuatan dan keberaniannya mengalahkan 1000 orang tentera kafir sungguh membanggakan. Akhirnya, tentera Muslimin, bersama Khaulah berjaya membebaskan panglima Dhirar dalam satu operasi serangan berikutnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin.

Penyertaan Khaulah dalam peperangan tidak berakhir di situ sahaja. Beliau telah menyertai beberapa peperangan selepas itu termasuklah perang Sahura. Ketika peperangan itu berlaku, Khaulah dan beberapa orang wanita telah menjadi tawanan oleh pihak musuh. Mereka telah dikurung dan dikawal rapi selama beberapa hari lamanya tanpa senjata untuk melepaskan diri.

Berada di dalam keadaan genting seperti itu membuatkan Khaulah tidak senang duduk. Mahu menanti pihak tentera Islam menyerang balas dan menyelamatkan mereka mungkin mengambil masa yg lama. Lantas Khaulah memikirkan cara untuk melepaskan diri. Setelah memikirkannya, tidak ada cara lain yg paling berkesan melainkan membakar semangat sahabat-sahabatnya yg lain, agar terus berjuang dan bertindak pantas sebelum musuh mengapa-apakan mereka. Khaulah sedar Allah SWT sendiri yg memberi jaminan bahawa kekuatan jiwa boleh mengalahkan kekuatan senjata. Maka Khaulah pun berkata kepada sahabat-sahabatnya itu:

"Wahai sahabat-sahabatku yg sedang berjuang di jalan Allah, apakah saudari-saudari sanggup menjadi hamba kepada orang Rom yg dilaknati Allah SWT? Relakah saudari dihina dan dicaci maki oleh orang Rom durjana itu? Di manakah letaknya harga diri saudari sebagai seorang Islam yg bertaqwa? Sesungguhnya mati itu adalah lebih baik bagi kita semua daripada menjadi hamba-hamba orang Rom!"

Mendengar kata-kata yg penuh dengan keterujaan daripada Khaulah itu, seorang daripada mereka menjawab,

"Sesungguhnya apa yg engkau katakan itu adalah benar. Demi Allah, kami semua mempunyai harga diri. Pedang lebih berguna dalam keadaan begini. Kalau kita lalai umpama kambing yg tidak bertanduk tifak (mempunyai senjata)."

Perbincangan dilakukan dan masing-masing mengemukakan berbagai pendapat dan semuanya  menunjukkan ingin mati syahid. Tidak seorang pun yg mahu menjadi hamba kepada orang kafir itu. Tetapi malangnya mereka tidak mempunyai senjata hatta sebilah pisau pun. Lantas Khaulah berkata menjawab keresahan di hati sahabat-sahabatnya itu:

"Wahai wanita-wanita Muslimah sekalian, tiang-tiang dan tali khemah ini sangat berguna bagi kita dan cukuplah ini saja senjata kita. Syahid lebih baik bagi kita dan inilah saja cara yg terbaik untuk kita melepaskan diri dari kehinaan ini, sebelum mereka dapat menyentuh kita atau menyentuh salah seorang dari kita. Mari kita bersumpah untuk bersatu dalam hal ini untuk menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah akan menolong orang-orang yg menolong-Nya."

Dengan semangat yg berkobar-kobar di dalam hati, mereka membalas, "Demi Allah, segala kata-katamu itu adalah benar. Kami tidak rela hidup dihina, syahid lebih baik bagi kami daripada hidup menanggung malu." Tekad para tawanan itu.

Setelah menetapkan harinya maka mereka pun melaksanakan perancangan yg telah dibincangkan. Sebelum bertindak, mereka berdoa bersungguh-sungguh  pada Allah dan bertaubat dengan segala dosa yg lalu. Mereka menangis dan merayu memohon Allah memberi kekuatan jiwa dan memudahkan urusan mereka. Mereka juga berharap semoga datangnya bantuan-bantuan ghaib untuk menolong mereka.

Khaulah telah mengetuai misi yg berat itu. Dia juga memimpin dan mengajar mereka untuk menjayakan perancangan menentang pihak musuh. Sebelum itu dia memberi taklimat kepada anak-anak buahnya:

"Wahai saudari, jangan sekali-kali gentar dan takut. Kita harus bersatu dalam perjuangan ini dan jangan ada yg terkecuali, patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, perbanyakkan bacaan takbir dan yg penting ialah saudari mesti kuatkan hati saudari semua. InsyaAllah pertolongan Allah sudah dekat."

Begitulah keyakinan yg ditonjolkan oleh Khaulah. Berkat keberaniannya mereka terselamat dari segala bentuk bencana itu. Orang-orang Rom ketakutan kerana serangan yg datang secara tiba-tiba. Khaulah berjaya merampas sebuah tombak lalu digunakan untuk bertempur sedangkan tiang di tangan kanannya digunakan untuk melindungi dirinya dari tusukan tombak dan libasan pedang.

Akhirnya Khaulah dan semua wanita tersebut berjaya memecah-belahkan pasukan Rom dan dapat melepaskan diri dari kafir durjana dan kembali ke pasukan Islam dengan selamatnya.

Begitulah kisah seorang srikandi yg hebat ini. Keberanian yg ada di dalam dirinya menjadi pemangkin semangat kepada setiap orang Islam agar terus kuat untuk berjuang di jalan Allah SWT.

Wallahu`alam..



1 Comments:

Blogger syakinahdreams19 said...

maaf , saya copy ;)

July 7, 2015 at 3:44 PM  

Post a Comment


Written at 12:52 PM